Pages

Wednesday 17 September 2014

Kelebihan kahwin campur

APA uniknya perkahwinan campur?. Itulah persoalan utama yang saya ajukan kepada bekas Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib pada pertemuan ringkas di rumahnya di Taman Seri Reko baru-baru ini.


“Keistimewaan paling utama terletak pada zuriat yang bakal dilahirkan. Mereka adalah pembawa baka genetik yang diwarisi daripada keturunan nenek moyang kedua-dua ibu bapanya,” ujar beliau yang pernah menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

Malah beliau sendiri mempunyai pengalaman berkahwin dengan bukan wanita tempatan.
Sebaliknya, Allah s.w.t. menetapkan jodohnya dengan seorang wanita warganegara mesir keturunan Turki, Allahyarham Sohair Abdel Moneim Ibrahim Serry sewaktu melanjutkan pelajaran ke Mesir.
“Sebenarnya, apabila kita membicarakan soal perkahwinan campur, banyak perkara yang harus diambil kira.

“Paling utama ialah bagaimana kita mendidik pasangan agar menyesuaikan diri dengan cara hidup orang Melayu.

“Di samping itu, bagi pasangan yang berkahwin dengan saudara baru, berbeza pula pendekatannya kerana ia melibatkan aspek amalan agama Islam,” jelasnya mengenai perkahwinan campur.
Menurut beliau, perkahwinan adalah perkara mulia yang dituntut agama. Rasulullah s.a.w. sendiri menggariskan empat perkara untuk dijadikan panduan kepada umatnya dalam hal memilih pasangan, iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan mulia dan pegangan agama.

Bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. menasihati umatnya agar berkahwin dengan pasangan yang mempunyai latar belakang didikan agama yang teguh berbanding tiga perkara tersebut.
Ini bagi mengelakkan pelbagai masalah timbul dalam kehidupan alam yang sentiasa bergolak.

Pemilihan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berhati-hatilah kamu dalam menentukan pemilihan bagi menurunkan baka kepada mana-mana pihak dalam cara yang baik dan selamat dengan pilihan yang tepat.”
Sesungguhnya, Islam amat memandang berat terhadap baka keturunan bagi memelihara kesucian umat Rasulullah s.a.w.

Perkahwinan campur di Malaysia juga tidak terhad antara Melayu dan Cina ataupun Melayu dan India.
Dalam dunia global hari ini, pergaulan sesama manusia juga semakin melebar dan hampir tiada batasan.
Tambahan pula, dengan kecanggihan teknologi komunikasi menggalakkan interaksi yang luas antara masyarakat antarabangsa.

Dalam konteks ini, Islam mengharuskan dalam soal pemilihan pasangan termasuklah berkahwin di kalangan warga luar.

Hakikatnya, berkahwin dengan saudara baru merupakan dakwah praktikal yang paling mujarab kerana ia akan menyebarkan keturunan di kalangan bukan Islam.
“Walaupun Islam membenarkan tetapi masalah dari segi keagamaan, akhlak dan adat resam hendaklah diambil kira, supaya tidak terbawa-bawa budaya dari negara asal yang tidak berapa sesuai dengan suasana masyarakat di sini,” ujar beliau merujuk betapa Islam memandang berat soal keturunan yang bakal dilahirkan.

Perkahwinan merupakan perkara paling mulia di sisi agama. Atas sebab itu, perkahwinan perlu diputuskan antara lelaki dan perempuan berlainan asal usul dan keturunan, yang dilakukan atas nama Allah s.w.t. dengan adanya wali dan akad.
Dalam alam nyata yang perlu dihayati, perkahwinan campur jika dilakukan atas landasan yang betul, akan melahirkan zuriat yang ketara dari segi kecerdikan, kepintaran dan kecantikan hasil percantuman darah yang berbeza.

“Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan umatnya memilih pasangan yang tidak terlalu rapat hubungan saudaranya.

“Sebaik-baiknya pilihlah pasangan yang di luar kelompok saudara mara,” tambahnya.
Beliau tidak menafikan, ada segelintir masyarakat yang `pekat’ didikan Melayunya, sukar menyesuaikan diri dengan cara hidup pasangannya yang berbeza.

Keharmonian

Bagi Abdul Kadir, untuk memelihara keharmonian rumah tangganya, beliau mengambil pendekatan mudah dengan tidak meletakkan sebarang syarat dalam pergaulan isterinya.
Mengimbas kembali detik awal perkahwinannya kira-kira 39 tahun yang lalu, beliau berkata segala yang berlaku di luar perancangannya.

Mereka bertunang selama tujuh tahun sejak isterinya berumur 14 tahun dan belajar di sekolah menengah, sebelum mengambil keputusan berkahwin pada 11 Oktober 1964.

“Selepas berkahwin, saya bawa isteri saya pulang ke kampung di Johor. Bukan hendak menduga akalnya, tetapi dia tidak pernah membantah, malah mengikut sahaja ke mana saya pergi termasuk meredah paya, sungai dan sawah padi,” kenang beliau mengenai keistimewaan isteri yang amat dikasihi, yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Membentuk

Walaupun berkahwin dengan orang luar, Abdul Kadir berjaya membentuk isterinya untuk menjalani hidup seperti orang Melayu termasuk memakai baju kurung, memasak makanan Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu.
“Manusia sentiasa dibekalkan dengan akal dan ilmu. Jika seorang suami dan isteri yang bijak, maka tidak timbul masalah penyesuaian budaya jika berkahwin dengan orang asing,” jelasnya lagi.
Menurut beliau yang berasal dari keturunan Bugis, keenam-enam anaknya mempunyai perbezaan yang ketara dari segi rupa paras, kecerdikan dan warna kulit kerana mewarisi gen nenek moyangnya.
Anak sulungnya, Wafa, 39, mewarisi darah keturunan Arab daripada ibunya. Begitu juga anak keduanya, Jamal, 37. Manakala Ilham, 35, Amar (meninggal sewaktu berumur 10 tahun), Hibatullah, 29 dan yang bongsu, Badriah, 27 masing-masing turut mempunyai keistimewaan tersendiri.
Kesungguhan isterinya mendalami bahasa Melayu terbukti apabila beliau sanggup mengikuti kursus di Universiti Malaya (UM), walaupun fasih berbahasa Inggeris dan Arab.
Selain menjadi anggota Persatuan Penterjemah Malaysia peringkat antarabangsa, isterinya juga merupakan tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia selama 25 tahun, dan dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam Pengajian Bahasa Arab.

“Saya sangat bangga dengannya apabila suatu hari isteri saya berkata, “Saya berbangga menjadi warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia tetapi saya berasal dari Mesir dan berdarah keturunan Turki” katanya tersenyum.

Pada pandangan beliau, selain tidak meletakkan sebarang syarat dalam pergaulan, beri masa kepada pasangan untuk memilih yang terbaik dan pada masa yang sama, bimbinglah mereka berdasarkan acuan budaya Melayu dan tuntutan agama Islam.

Source :
© Utusan Melayu (M) Bhd



 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR hazritakahar.blogspot.com